Pertemuan hari ini amat bermakna buat Afiza. Selama 4 tahun dia menanti masa yang sesuai dan dia bagaikan tidak percaya masanya hampir tiba. Berakhirlah sebuah penantian…
“Za..,” Afiza segera menoleh ke arah suara itu. Denyutan jantungnya bagaikan terhenti sementara. Benarkah apa yang dilihatnya? Dan tatkala terpandangkan senyuman itu, dia turut tersenyum. Benar, mata ini tak berbohong desis hati Afiza.
Lelaki itu tetap sama seperti dulu. Cuma, kelihatan matang dengan sedikit kumis. Dulu, dia kelihatan agak selekeh, namun ketampanannya tetap terserlah. Tidak hairanlah, sewaktu di tingkatan 4 Zuhal dulu, ramai gadis yang memujanya. Dia masih ingat lagi, Rina, rakan sekelasnya yang berbaik-baik dengannya semata-mata untuk mengetahui mengenai pujaan hatinya itu.
Rakan-rakan memang maklum akan hubungan baik dia berdua, di mana ada Adli, Afiza tentu bersama. Afiza tersenyum sendiri. Banyak kenangan manis mereka bersama… tapi, itu dulu. Sebelum mereka berpisah. Kini, lelaki itu muncul lagi..
“Hmm, Li… kau di sini?”
Lelaki itu tersenyum cuma. “Sepatutnya aku yang bertanya soalan itu pada kau.”
Afiza tergelak kecil, mengakui kesilapannya. Afiza diberitahu emaknya bahawa Adli sekarang mengajar di Cheras sebaik sahaja dia tamat pengajian di Maktab Perguruan Besut setahun yang lalu.
“Za, kau buat apa di sini?” tanya Adli lagi “Seperti kau, saja window shopping. Sebetulnya aku temankan officemate aku,” terang Afiza. Sama sekali dia tidak menjangka akan bertembung dengan Adli di situ. Namun begitu dia tetap bersyukur dengan pertemuan itu, kerana baginya ia adalah satu permulaan yang baik, Afiza tersenyum sendiri. Dia tidak pernah berputus harapan agar suatu hari nanti tali persahabatan mereka akan bertukar kepada pasangan kekasih. Saban hari dia berdoa agar Adli dapat merasakan apa yang dia rasa.
“Hmm, Li, aku pergi dulu.. kawan aku dah tunggu tu,” beritahu Afiza sambil memberi isyarat kepada rakannya supaya menunggu.
“Za, kita boleh berjumpa lagi, kan?” Afiza menolehkan pandangan kepada sahabatnya seraya mengangguk. “Sudah tentu, kita kan kawan” balas Afiza. Adli mengerdipkan matanya. Hmm, sahabatku, memang itu jualah harapanku, desis hati Afiza.
Fikiran Afiza menerawang jauh. Dia teringatkan pertemuannya dengan Adli siang tadi. Apakah dia sudah berteman? Sahabatku, perasaan sayangku terhadapmu tetap utuh, masih kukuh bersemadi di hati, bukan mudah untuk aku melupakanmu. Afiza bermonolog sendirian.
Mahu saja dia menjerit, menyatakan perasaan rindu yang terpendam selama ini. Namun, Afiza takut. Masih jelas di kotak ingatannya peristiwa 3 tahun yang lalu..
“Li, esok kau temankan aku mendaftar di UiTM ye.” Sahabatnya itu hanya mengangguk lemah. “Tak mengapalah Li, kalau kau tak mahu. Emak aku pun boleh temankan aku,” nada suara Afiza berbaur merajuk. Orang nak minta dia teman, jual mahal pulak, ngomel Afiza seraya mengorak langkah masuk ke dalam rumah..
“Za, aku balik dulu.. malam nanti aku telefon kau,” Afiza tidak mengendahkan sahabatnya. Dan, dia menoleh saat terdengar deruman motor Adli.. Afiza mencebik. Benci terhadap respons yang diberikan temannya. Lain yang diharap, lain pula yang terjadi..
“Dah siap mengemas barang kau Za?”Soalan ibunya cuma dibalas dengan anggukan lemah. Ala... tak payah bawa barang banyak sangat. Bukannya jauh pun kampus dengan rumah. Lebih kurang sepuluh minit aje. Silap-silap, tiap-tiap hari dia balik ke rumah..
“Mak, esok mak temankan Za, ye?” malas untuk mengharapkan kesudian sahabatnya untuk menemankan dia esok. Sebetulnya, Afiza begitu mengharapkan kehadiran sahabatnya di hari yang bermakna itu. Llagipun, Adli juga mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke UiTM, Cuma mereka tidak ditempatkan di kampus yang sama. Adli akan mendaftarkan diri seminggu selepas dia berdaftar, di UiTM Shah Alam, Selangor. Dalam diam Afiza merancang sesuatu.. dan dia pasti sahabatnya pasti akan berjumpanya sebelum mendaftar diri ke Shah Alam..
“Hello, Adli ada di rumah?” soal Afiza sebaik sahaja telefon rumah sahabatnya itu diangkat. Afiza mengerling sekilas jam di tangannya. Hampir pukul 1.30 tengahari.
Hmm, janji melayu! Desis hati Afiza...sepuluh minit berlalu, akhirnya Afiza pulang ke kolej. Tak boleh diharap betul! Bukannya jauh pun, takkan sesat pulak.. bukannya Afiza suruh ke kolej, setakat depan pintu masuk takkan tak jumpa.. Huh, nak kena mamat ni, bukan main lama kita tunggu.. dah lah panas.. pulak tu, “pak guard” kat situ asyik pandang semacam aje kat kita…
Trut.. trut.. Bunyi telefon mematikan khayalan Afiza. Tertera nama Adli di skrin telefonnya. Hmm.. Afiza tersenyum riang seraya tangannya menekan butang telefon.
Masuk kali ini, sudah tiga helai baju yang diperagakan Afiza. Afiza mahu Adli nampak dirinya lain dari yang biasa. Sewaktu Adli menyatakan mahu berjumpa dengannya.., hatinya sudah berbunga-bunga.. Mahu sahaja dia menjerit bagi menggambarkan perasaannya ketika itu,.. Namun begitu, dia cuba menahannya..
Suatu ketika dulu, dia pernah mengalami situasi yang sama. Bahagia.. Dia rasa gembira bila mengenangkan dirinya akan berjumpa dengan sahabat yang dirinduinya saban masa..
Namun, apa yang diimpikan Afiza tidak menjadi kenyataan..
“Maaf, Za.. Bukan salah aku...” Afiza sudah menahan rasa.. Takkanlah Adli tak berusaha untuk berjumpa dengannya. Nampak sangat Adli tak ambil peduli perasaannya.
“Tak apa lah.. aku faham kedudukan aku di samping engkau...” luah Afiza geram. Takkan sahabatnya tak perasan dia mahu berjumpanya sebelum masing-masing mula mengikut haluan yang berbeza. Adli terpana mendengar sahabatnya berkata begitu. Apakah benar telahannya selama ini. Sahabatnya menaruh hati terhadapnya.
Tiba-tiba Adli teringat usikan Amin, jiran merangkap teman baiknya. “Li, aku rasa Za sukakan engkau.. Engkau aje yang tak nak nampak semua tu.”
Memang Adli akui, kadangkala dia bingung dengan kerenah Afiza. Kadang manja, cepat merajuk.. Tapi, dia akan kembali seperti biasa tak lama kemudian. Sebab itulah Adli tak pernah mengganggap Afiza lebih dari seorang kawan.
“Mana ada perempuan yang nak mengaku dulu.. malulah dia,” tokok Amin lagi. Adli tidak ambil peduli apa yang dikatakan Amin. Baginya, dia dan Afiza kawan, tak mungkin lebih dari itu..
“Li, kau dengar tak apa yang aku cakapkan ni,” Adli tersedar bahawa dia sedang online dengan Afiza ketika ini. Fikirannya berserabut. Apa yang harus dilakukannya. Adli tak mahu Afiza terus-terusan tersalah anggap di atas apa yang dia lakukan selama ini..
“Za, aku nak bagitau engkau...segala pertolongan yang aku berikan selama ini hanya kerana kita bersahabat... kita kenal pun bukan baru sehari dua. Dah lama, jadi, aku tak nak engkau salah anggap..,okey..” Tatkala itu, kolam airmata Afiza sudah mula bergenang. Fahamlah Afiza yang selama ini, Adli tidak pernah mengganggapnya sebagai teman istimewa. Hanya kawan..
Masih terngiang-ngiang di minda Afiza kata-kata Adli suatu ketika dulu. Dan dari hari itu hubungan Afiza dan Adli semakin renggang. Tit.. tit.. satu mesej diterima.. “Za, aku tunggu kau di tempat kita bertembung dulu..”
Adli, adakah kau tetap seperti dulu, mengganggap aku hanya teman biasa. Tidak adakah sedikit ruang untuk aku di hatimu. Sampai bilakah semua ini akan berakhir, keluh Afiza.
“Li, kau kat mana? Aku dah sampai..” beritahu Afiza saat telefon Adli dijawab.
“Za, sorry, aku lewat sikit. Ada hal, kejap lagi aku sampai. Tapi jangan terkejut pulak..” Adli masih seperti dulu. Masih gemar membuat kejutan.. sepertinya mereka masih rapat seperti dulu. Bagus juga, fikir Afiza. Tapi, apa yang dimaksudkan oleh Adli. Apakah kejutan yang dimaksudkannya...Hmm...sabar Za.
Dari jauh, Afiza terpandang susuk tubuh yang dinantinya..
“Za, maaf, aku lambat sikit.. .Kawan aku minta tolong...” Afiza hanya mengangguk lemah. Baginya, alasan Adli sudah tidak penting lagi dia mahukan penjelasan. Jika tadi, dia begitu gembira melihat Adli melambai ke arahnya, namun bila dia terpandangkan Adli tidak berseorangan seperti selalu, riak wajahnya menjadi keruh.
Pucat, jika ditoreh sekalipun, takkan berdarah. Namun begitu Afiza cuba memaniskan muka, dia tidak mahu Adli perasan akan perubahan riak wajahnya. Tangannya dilambai membalas perlakuan temannya..
“Li, takkan kau tak nak kenalkan aku dengan gadis di sebelah kau ni,” tegur Afiza. Pastinya teman istimewa Adli. Cantik si gadis memberikan senyuman pada Afiza..
“Alamak, terlupa pulak aku Za. Ini Lin..,” “Afiza..” seraya menghulurkan tangan kepada Lin.. “Oo.. inilah kejutan yang kau katakan tadi..” seloroh Afiza.. Dia cuba berlagak tenang. Namun perasaan hatinya yang bergolak ketika itu, hanya dia yang tahu. Dua kali hatinya terluka dengan lelaki yang sama..
Fahamlah Afiza kenapa selama ini Adli selalu mengelak apabila diajukan soalan yang membabitkan hati dan perasaan.
“Aku bukannya apa Za, aku kalau boleh tak nak ada komitmen sekarang banyak perkara yang harus aku dahulukan, lagipun, kita masih muda,” terang Adli bila dia ditanya soal teman wanita pada pertemuan yang tidak diduga suatu waktu dahulu. Afiza bersetuju dengan apa yang dikatakan Adli.. dia tidak mahu bertanya lebih lanjut.. takut Adli dapat menangkap apa yang bermain di fikirannya..
“Hmm, kau, Za? Tak ada kawan yang special ke?” balas Adli.. Afiza senyum, sambil menggelengkan kepala. “Carilah seorang Za.. kawan-kawan sepejabat takkan tak ada?” tambah Adli lagi, cuba memancing sahabatnya bercerita.
Siapalah yang nakkan aku, Li.. Lagipun, aku dah serahkan hati aku pada orang lain..
“Aku tunggu kau sebenarnya Li..” sakat Afiza.. Sebetulnya dia juga meluahkan perasaannya. Adli tergelak cuma...“Lambat lagilah kalau macam tu...” balas Adli. Aku sanggup menunggu walau selama mana sekalipun.. getus hati Afiza.
“Jangan tunggu aku, Za..” bicara Adli seperti dapat membaca di benak fikiran sahabatnya. Afiza menelan liur.
Selama ini Afiza mengharapkan dia dan Adli akan berkesudahan baik. Namun begitu, sekali lagi Afiza kecewa. Hampir empat tahun Afiza menantikan waktu yang sesuai untuk meluahkan apa yang terbuku dihatinya. Waktu yang ditunggu sudah tiba, tetapi nampaknya, apa yang menjadi rahsia tetap akan kekal sebagai rahsia..
Selama ini, setiap hari perasaan rindu Afiza terhadap Adli kian menebal, Perasaan kasih kian berbunga..Tidak ada sesaatpun dia melupakan sahabatnya. Dia semakin pasti dengan perasaannya semenjak hubungan mereka tidak lagi seakrab dulu..
“Za, sudah tetapkah keputusan engkau?” Afiza tersenyum seraya menganggukkan kepalanya. Adli bagaikan tidak percaya saat diberitahu Afiza bahawa dia akan ke Sabah untuk melanjutkan pelajaran..
“Tapi, kenapa jauh sangat?” Soal Adli lagi. “Kan banyak lagi universiti di Semenanjung ni..” tambah Adli lagi, bila didapati sahabatnya itu lebih banyak mendiamkan diri. Hatinya mengatakan Afiza pergi bukanlah semata-mata untuk melanjutkan pelajaran, tetapi untuk mengelakkan diri darinya.
“Engkau ni, aku dah nak check-in pun ni...” Afiza rasa alasan untuk menyambung pelajaran adalah yang paling baik . Afiza harap masa akan akan merawat luka hatinya.
“Sampaikan salam aku pada Lin. Maaflah, aku tak sempat hendak berkenal lebih rapat dengannya..” Afiza berkata tenang walaupun dadanya sebak. Hampir gugur airmatanya, namun dia masih mampu bertahan.
Adli mengangguk. Dia dapat melihat perubahan wajah Afiza saat sahabatnya itu diperkenalkan dengan gadis yang berjaya menawan hatinya. Namun, apalah dayanya, dia tidak mahu Afiza terus menaruh harapan terhadapnya. Mana mungkin dia mampu menyayangi sahabatnya itu lebih dari seorang kawan.
“Za, kau kena check-in sekarang.” Afiza angguk.
“Jaga diri kau baik-baik” pesan Adli. Afiza senyum, tahu Adli memang begitu.
“Kalau kau perlukan apa-apa, beritahulah aku, kita tetap bersahabat selamanya,.” tambah Adli lagi. Sebak dada Afiza mendengarnya. Sikap ambil berat Adli terhadapnya telah membuatkan hatinya terpaut. Tetapi, Afiza terpaksa akur bila Adli menyatakan mereka tak mungkin bersama.
Afiza menarik nafas panjang, dia mula bangun dan mencapai sweater pemberian Adli sempena hari lahirnya. Hanya itu sahajalah kenangan di antara mereka. Adli menyoroti pemergian Afiza dengan ekor matanya.
Saat Afiza menghulurkan tiket kepada pegawai yang bertugas, dia menoleh ke arah Adli buat kali yang terakhir. Dihadiahkan senyuman paling manis untuk sahabatnya itu. Di hatinya berdetik, “semoga berbahagia sahabatku…”